Senarai Tempat Wajib Dikunjungi di Ho Chi Minh, Vietnam.
Bagi mereka yang pertama kali ingin berkunjung ke sini, disarankan untuk menghabiskan masa sekurang-kurangnya 4 hari 3 malam, barulah dapat cover senarai tempat wajib dikunjungi di Ho Chi Minh, Vietnam ini.
Ho Chi Minh merupakan sebuah destinasi percutian yang sesuai dikunjungi sepanjang tahun. Merangkumi tarikan dari segi budaya, warisan sejarah dan alam semulajadi.
Perjalanan menaiki pesawat hanya mengambil masa dalam 2 jam sahaja. Antara penerbangan direct yang disediakan dari KLIA/KLIA 2 adalah AirAsia, MAS, Malindo Air dan Viet Jet dengan lingkungan harga RM 300-RM 500 untuk 2 hala.
#TIPSHCM1: Pastikan anda rebut peluang untuk menempah tiket sewaktu promosi dengan merancang percutian lebih awal.
1. Susuri Sungai Mekong. Rasai Pengalaman Menjadi Orang Tempatan.
Sungai Mekong merupakan salah satu sungai yang terpanjang di dunia. Menghubungkan lebih 6 buah negara iaitu China, Myanmar, Thailand, Laos, Cambodia dan Vietnam. Justeru, Sungai Mekong semestinya menjadi antara tempat-tempat wajib dikunjungi di Ho Chi Minh.
Perjalanan bermula seawal pukul 7 pagi, para peserta perlu bersiap sedia di lobi hotel sementara menunggu bas datang menjemput. Perjalanan mengambil masa kira-kira 1 jam dari hotel menuju ke jeti Sungai Mekong.
Lebih dikenali sebagai Mekong Delta Tour, para pengunjung akan merasai pengalaman berkunjung ke 3 pulau kecil iaitu Turtle Island, Unicorn Island dan Dragon Island di mana setiap pulau pastinya mempunyai tarikan unik yang tersendiri.
Turtle Island: Perusahaan Makanan Berasaskan Kelapa.
Tempat singgahan pertama adalah melawat kilang tempatan yang menghasilkan produk-produk makanan yang berasaskan kelapa. Uniknya mengenai proses pembuatan produk-produk ini adalah tenaga manusia digunakan 100% tanpa melibatkan peralatan canggih.
Anda juga berpeluang untuk melihat proses pembuatan ini secara langsung di depan mata anda sendiri. Selain itu, jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri hasil produk yang dibuat secara fresh seperti gula-gula kelapa, kerepek dan manisan-manisan lain.
Unicorn Island: Perusahaan Madu Lebah, Menaiki Kuda dan Menaiki Sampan.
Perjalanan diteruskan dengan melawat Unicorn Island yang menyajikan tarikan mengenai perusahaan madu lebah. Di sini, anda akan diberikan penerangan tentang produk-produk yang dihasilkan daripada lebah yang diternak secara tradisional seperti produk minuman dan kecantikan.
Para pengunjung juga akan dihidangkan dengan minuman kesihatan dari campuran madu, limau nipis dan debunga. Selepas itu, anda berpeluang untuk menaiki kereta kuda sambil melalui kawasan kampung tempatan sebelum menaiki sampan kecil yang menyusuri pohon-pohon nipah.
#TIPSHCM2: Jangan lupa beli air kelapa yang dicampur isi buah nipah ya. Sangat nikmat bila minum sambil naik sampan.
Dragon Island: Berhibur Sambil Menikmati Buah-Buahan Tempatan.
Perhentian yang terakhir adalah Dragon Island. Di sini, anda akan dihiburkan dengan persembahan daripada warga tempatan dengan lagu-lagu Malaysia/Indonesia seperti Bila Rasa Gembira dan Perawan Atau Janda.
Anda juga akan dihidangkan dengan teh panas dan buah-buahan tempatan. Selesai persembahan, mereka akan meletakkan bakul kecil di atas meja untuk tujuan pemberian tips atau sumbangan ikhlas.
2. Terowong Chu Chi dan Sejarah Peperangan Vietnam.
Seperti biasa, perjalanan dimulakan seawal 7 pagi dengan menunggu bas menjemput peserta di lobi hotel. Mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit untuk tiba di destinasi, pastikan anda nikmati perjalanan yang akan melalui kawasan sawah padi dan hasil tanaman penduduk tempatan.
Jangan terkejut jika melihat perkuburan yang ada di tengah-tengah sawah padi. Ini merupakan satu amalan tradisi di mana menurut kepercayaan mereka dengan mengebumikan mayat ketua keluarga mereka di tanah sawah milik keluarga, maka tidak akan berlaku perebutan atau gadaian harta pusaka tersebut.
Sejarah dan Pelancongan
Mula dibina pada tahun 1948, terowong ini merupakan antara usaha kelangsungan hidup sewaktu krisis IndoChina. Terowong ini digali secara terus menerus sehingga mencapai 250km dan menjadi sumber laluan keluar masuk bekalan makanan, ubat-ubatan, tempat persembunyian dan perangkap.
Terowong ini juga berfungsi sebagai penempatan semasa berlaku pengeboman secara besar besaran di mana tentera Vietnam dan keluarga mereka bersembunyi. Lengkap dengan kuarters kediaman, terowong ini turut mempunyai ruang dapur, hospital, tempat hiburan, tempat penyimpanan makanan, senjata dan lain-lain lagi. Terowong ini sangat gelap dan sempit sehingga dikenali sebagai โTerowong Tikusโ oleh tentera Amerika.
Pada tahun 1975, kerajaan Vietnam telah membaik pulih kawasan ini sebagai sejarah negara dan membukanya kepada pengunjung. Dibuka pada setiap hari bermula pukul 9 pagi sehingga 5 petang.
Untuk pengetahuan, kerajaan Vietnam amat mementingkan pendekatan sejarah khususnya bagi rakyat tempatan. Justeru, Chu Chi Tunnel ini antara tempat-tempat yang wajib dikunjungi di Ho Chi Minh.
Pengalaman Menjadi Tentera Vietnam
Di sini, anda berpeluang untuk mendekati sejarah lampau berkaitan kelangsungan hidup tentera Vietnam dengan mendalami sendiri keadaan berada di dalam terowong tersebut. Dibina khas untuk pengunjung, anda perlu jalan membongkok melepasi terowong yang gelap dan sempit sejauh 100 meter dan berkedalaman 7 meter ke bawah dari aras tanah.
Anda juga dapat merasai hidangan yang dimakan sewaktu peperangan berlaku seperti ubi bakar yang dimakan bersama garam. Terdapat juga demonstrasi pembuatan kulit popia yang dibuat secara traditional. Jangan terkejut jika mendengar bunyi tembakan kerana terdapat kawasan menembak yang dibuka untuk pengunjung yang ingin mencuba.
Jerangkap Samar
Tentera Vietnam terkenal dengan kreativiti dalam mencipta jerangkap samar. Perangkap-perangkap ini digunakan sebagai salah satu cara untuk melumpuhkan serangan musuh.
Antaranya meletakkan ular berbisa di pintu masuk terowong, pancang-pancang buluh yang ditutup dengan daun dan pelbagai strategi lain untuk memerangkap musuh. Di sini, anda dapat melihat sendiri jerangkap-jerangkap samar yang dicipta serta simulasi penggunaannya.
3. Syurga Membeli Belah di Benh Thanh Market
Merupakan tempat tumpuan utama bagi merka yang gemar membeli belah dan ianya menjadikan tempat ini antara tempat-tempat yang wajib dikunjungi di Ho Chi Minh, Vietnam.
Pasar Benh Thanh menawarkan pelbagai barangan dari beg berjenama, kain pasang, kain lace, baju, kasut dan lain-lain lagi.
#TipsHCM3: Pastikan anda tawar menawar dengan harga yang lebih murah sekurangnya 50% dari harga asal.
Jangan lepaskan peluang untuk membeli cenderahati seperti kain sutera Vietnam untuk dibawa pulang sebagai kenang-kenangan.
Terletak hanya beberapa ratus meter dari Malaysian Street, Pasar Benh Thanh memudahkan para pengunjung untuk ulang alik dari hotel. Pasar ini mula beroperasi dari pukul 8 pagi dan tutup pada pukul 6 petang.
4. Malaysian Street – Seperti Bukan Berada di Vietnam
Sumber Makanan Halal
Saban tahun Ho Chi Minh menerima jumlah pengunjung dari Malaysia yang semakin ramai, sehingga membuka peluang kepada pengusaha makanan halal di sana untuk membuka langkah.
Antara kedai makan halal yang boleh didapati adalah Restoran Hajah Basiroh, Restoran Osman, Restoran Al Amin dan lain-lain lagi. Sudah tentu menu yang disediakan menepati citarasa orang Malaysia. Oleh kerana kawasan ini selalu menjadi tumpuan rakyat Malaysia, maka terhasillah nama Malaysian Street.
Pasar Malam
Malaysian Street terletak di kawasan yang sangat strategik iaitu hanya beberapa ratus meter ke Pasar Benh Thanh. Pada malam hari pula, peniaga-peniaga Pasar Benh Thanh akan sambung berniaga sepanjang Malaysian Street.
Di sini, kaum wanita akan berpusu-pusu memborong pelbagai jenis tudung, telekung dan kain pasang.
#TipsHCM4: Anda dinasihatkan untuk membuat urusan jual beli dengan menggunakan nilai duit Ringgit kerana lebih murah berbanding menggunakan duit Dong.
Jangan terkejut kerana penjual-penjual di Malaysian Street ini kebanyakkanya sudah fasih dan faham Bahasa Melayu.
5. City Tour Sebagai Penutup Lawatan Bagi Tempat Wajib di Ho Chi Minh, Vietnam
Lazimnya, lawatan ini dilakukan pada hari terakhir percutian terutama bagi mereka yang inginkan penutup lawatan yang santai dan tidak memenatkan.
Lawatan ini terdiri daripada beberapa tempat di kawasan bandar yang wajib dikunjungi di Ho Chi Minh, Vietnam dan terletak berdekatan dengan Pasar Benh Thanh iaitu War Remnant Museum, Central Post Office dan Notre Dame Cathedral.
War Remnant Museum
Muzium ini dibina pada tahun 1975 dengan memaparkan koleksi sejarah-sejarah hitam sepanjang berlakunya peperangan. Dibahagikan dengan beberapa bahagian mengikut tema, setiap inci muzium ini menyajikan pameran dan kisah yang tragis yang tersendiri.
Seperti contoh terdapat mayat bayi berkepala dua yang mati akibat peperangan dan diawet diletakkan di dalam botol kaca dan gambar-gambar penyeksaan tahanan. Di bahagian luar muzium ini juga terdapat pesawat pejuang milik Amerika Syarikat, helicopter dan kereta kebal.
Notre Dame Cathedral
Dibina pada tahun 1863 sehingga 1880 oleh koloni Perancis, seni bina dan bahan binaan asal bangunan ini semuanya dibawa khas dari Perancis. Keunikan Notre Dame Cathedral ini adalah salah seorang jurutera yang terlibat merupakan jurutera yang sama dalam pembinaan Menara Eiffel di Perancis.
Central Post Office
Terletak bersebelahan dengan Notre Dame Cathedral, bangunan ini juga di bina oleh koloni Perancis pada tahun 1186 sehingga 1891. Ibarat kembali semula ke zaman lampau, bangunan ini menampilkan seni bina yang unik dengan mengekalkan konsep semasa awal pembinaannya.
Jangan lepaskan peluang untuk menghantar poskad kepada rakan-rakan anda di Malaysia kerana pejabat pos ini sebenarnya masih berfungsi sehingga kini.
Comments (2)
Your style is unique in comparison to other people I have read stuff from.
Thanks for posting when you’ve got the opportunity,
Guess I will just bookmark this page.
It’s really a nice and useful piece of information. I am glad that
you simply shared this useful info with us. Please stay us
informed like this. Thanks for sharing.