15 Tempat Wajib Diterokai di Acheh dan Pulau Sabang
Nama Banda Acheh sudah tidak asing lagi bagi kita semua. Sebelum ini pada tanggal 26 Disember, dunia dikejutkan dengan kejadian gempa bumi yang disusuli dengan tragedi tsunami yang berketinggian 30 meter menimpa bumi Acheh yang terkenal dengan gelaran serambi mekah ini.
Seramai 230,000 nyawa yang terkorban di dalam tragedi yang menyayat hati ini. Namun, kini semuanya sudah berbeza. Banda Acheh yang dulunya umpama padang jarak padang terkukur telah bangkit dan membangun dengan pesat sekali.
Jadi, kali ini saya ingin berkongsi pengalaman saya menerokai bumi Acheh. Terdapat 15 tempat yang wajib diterokai apabila anda datang ke Banda Acheh dan Pulau Sabang.
1. Masjid Keuchik Leumik di Desa Lamseupeung, Kecamatan Lueng Bata, Kota Banda Aceh, Provinsi Aceh.
Masjid Keuchik Leumik adalah salah satu masjid yang wajib anda lawati ketika datang ke Banda Acheh. Masjid ini baru sahaja dibuka iaitu pada hari Isnin, 28 Januari 2019.
Perkara yang menjadikan masjid ini istimewa adalah kerana hiasan dalaman masjidnya yang bertemakan emas menjadikannya mewah, unik dan sangat indah.
Pembinaan masjid ini diilham daripada senibina timur tengah, dan ini dapat dilihat dengan penanaman beberapa pokok kurma di sekitar kawasan masjid.
2. Rumoh Acheh di Desa Lamseupeung, Kecamatan Lueng Bata, Kota Banda Aceh, Provinsi Aceh.
Rumoh Acheh ini merupakan rumah adat suku Acheh dan terletak tepat di bersebelahan kawasan Masjid Keuchik Leumik. Rumoh Acheh kebiasaannya diperbuat daripada kayu dan beratapkan daun rumbia serta dibina mengikut bentuk segi empat memanjang.
3. Masjid Rahmatullah, Kampong Lampuuk, Meunasah Lambaro, Lhoknga, Aceh Besar Regency.
Masjid Rahmatullah ialah salah satu masjid yang menjadi saksi peristiwa tsunami berlaku. Ketika semua bangunan di sekitar masjid ini hanyut dibawa air tsunami yang deras, namun masjid ini tetap utuh di paksinya.
Walaubagaimanapun, terdapat beberapa kesan tinggalan tsunami di luar dan di dalam masjid yang dibiarkan dan tidak dibaiki oleh pihak masjid sehingga kini.
Jika anda datang ke masjid ini, anda dapat melihat kesan air dan retakan di satu sudut di dalam masjid yang dibiarkan tanpa dibaiki. Ini bertujuan mengabadikan bukti kesan tinggalan tsunami agar dapat menjadi pengajaran bagi setiap pengunjung yang hadir.
4. Masjid Raya Baiturrahman, Kota Banda Aceh.
Masjid Raya Baiturrahman ini merupakan tempat yang wajib untuk anda lawati di Banda Acheh. Masjid ini juga salah satu masjid yang bertahan ketika tragedi tsunami melanda Banda Acheh dan menjadi tempat orang berlindung ketika tsunami berlaku.
Dikatakan tiada bangunan di Banda Acheh yang lebih tinggi daripada menara masjid ini. Dan masjid ini telah dibaik pulih selepas peristiwa tsunami dan menjadikan ia kelihatan seperti Masjid Nabawi di Madinah kerana memiliki 12 tiang payung yang boleh dibuka tutup.
5. Kapal PLTD Apung
Kapal PLTD Apung ini merupakan tempat yang wajib anda lawati di Banda Acheh. Kapal ini asalnya berada di Ulee Lheue yang telah dibawa arus tsunami sejauh 5 kilometer hingga ke tengah Kota Banda Acheh.
6. Kapal Atas Rumah
Kapal Atas Rumah ini merupakan tempat yang wajib anda lawati di Banda Acheh. Menariknya kapal kayu ini betul-betul berada di atas sebuah rumah yang mana telah menyelamatkan 59 nyawa ketika tsunami berlaku.
7. Rumah Pahlawan Wanita Cut Nyak Dhien
Tapak rumah ini dikatakan asalnya milik pahlawan wanita Cut Nyak Dhien. Kini, rumah ini telah pun dibaik pulih dan dijadikan mini muzium untuk menyimpan tinggalan pahlawan wanita tersebut.
8. Muzium Tsunami Acheh
Muzium Tsunami Acheh ini merupakan tempat semadinya nama-nama mereka yang terkorban ketika kejadian tsunami dan turut diletakkan bendera-bendera negara yang membantu Acheh semasa tragedi tsunami menimpa Acheh.
9. Monument Tsunami Kuburan Masal Siron, Jalan Bandara Sulta Iskandar Muda, Gampong Siron, Kecamatan Ingin Jatam Aceh Besar.
Monument Tsunami Kuburan Masal Siron ini merupakan tempat yang wajib anda lawati di Banda Acheh. Di sinilah ribuan mayat orang muslim yang terkorban akibat bencana tsunami dikebumikan secara beramai-ramai.
10. Pulau Iboih
Di Pulau Iboih anda boleh melakukan aktiviti snorkeling dan banyak lagi. Menarik di Pulau Iboih ini, terdapat pelbagai jenis ikan yang sangat jinak dan akan turut menghampiri sekiranya diberi makanan maggi. Haha…
11. Bandar Pulau Sabang
Banda Pulau Sabang agak berbeza dengan Banda Acheh dari segi kesibukannya. Di Pulau Sabang lebih tenang dan kurang kenderaan.
12. Kilometer Nol
Di sini merupakan zero kilometer arah utara bagi Pulau Sabang. Jika ingin ke sini, pastikan anda datang ketika matahari terbenam. Ini kerana pemandangan yang sangat luar biasa pasti akan diperolehi.
13. Pantai Pasir Putih
14. Kubu Jepun Anoi Hitam
Untuk sampai ke Kubu Jepun ini, anda harus mendaki bukit dan akan mengambil masa lebih kurang 5 minit sahaja. Yang menariknya, terdapat tinggalan kubu-kubu lama dan beberapa biji meriam yang masih ada di sini. Di tepi kubu ini terdapat tebing batu tajam yang bersambung dengan lautan biru membuatkan kawasan ini mempunyai pemandangan yang sangat menakjubkan.
Leave a Reply