Tempat Menarik di Langkawi

Tempat Menarik di Langkawi

Senarai Tempat-Tempat Menarik di Pulau Langkawi

Pulau Langkawi merupakan salah satu daripada daerah di Kedah. Tahukah anda bahawa Pulau Langkawi adalah sebuah pulau yang terbesar di Malaysia dengan pelbagai tempat yang menarik.

Pulau Langkawi mempunyai lokasi yang unik di Asia Tenggara dengan seluas 478 km merangkumi 99 buah pulau yang romantik.

1. Air Terjun Telaga Tujuh

Air Terjun Telaga Tujuh terletak di Gunung Mat Cincang. Nama air terjun ini bersempena koleksi tujuh kolam berasingan yang terjadi secara semulajadi pada batuan air terjun ini.

Air Terjun Telaga Tujuh sangat popular di kalangan pelancong kerana tempat ini mempunyai tarikannya yang tersendiri di setiap tingkat air terjun.

Lebih kurang 600 anak tangga yang perlu didaki sebelum sampai ke kawasan air terjun. Telaga pertama sesuai untuk aktiviti berkelah, mandi-manda dan sebagainya. 

2. Skycab Langkawi

Kunjungan ke Pulau Langkawi akan jadi tidak lengkap jika pelancong tidak menaiki kereta kabel yang sangat popular di Pulau Langkawi iaitu Skycab.

Skycab ini mengunakan teknologi Swizerland dan merupakan tarikan utama pelancongan di Pulau Langkawi. Terletak 709 meter di atas paras laut, pengunjung boleh menikmati pemandangan flora dan fauna di sekitar kawasan yang berhutan, Air Terjun Telaga Tujuh dan lautan yang membiru dari sudut 360 darjah.

3. Skybridge Langkawi

Tempat Menarik di Langkawi

Langkawi Skybridge adalah sebuah jambatan gantung sepanjang 125 meter dan 1.8 meter lebar yang dibina di atas Gunung Mat Cincang.

Ia tergantung di ruang atas gunung hutan dara yang menawarkan pemandangan yang luar biasa dengan berketinggian 100 meter dari tanah dan 2300 kaki dari paras laut.

Jambatan ini mampu menampung sehingga 200 orang pengunjung dalam satu-satu masa. 

4. Skytrex Langkawi

Skytrex Langkawi merupakan tempat menarik di Langkawi bagi peminat aktiviti-aktiviti lasak. Skyrex adalah satu aktiviti lasak di atas pokok.

Untuk melakukan aktivit-aktiviti di sini, anda perlu memiliki berat badan tidak melebihi daripada 100kg dan ketinggian tidak kurang daripada 1.5 meter.

Terdapat 3 pakej yang disediakan di Skytrex iaitu Little Legend Adventure, Eagle Thrill dan Island Extreme termasuk aktiviti flying fox, panjat tangga, meniti kayu dan sebagainya. Pengunjung boleh membuat pilihan pakej ikut kesesuaian mereka.

5. Muzium 3D Langkawi

Muzium 3D Langkawi adalah salah sebuah tarikan yang terletak di Oriental Village. Muzium ini memiliki keluasan ruang pameran hampir 2000 meter persegi dalam bangunan tiga tingkat.

Muzium ini terbahagi kepada sembilan zon yang meliputi ilusi optik, akuarium, safari, interaktif, fantasi, klasik, tema Mesir, istana lama dan zon Malaysia. Muzium 3D Langkawi menempatkan lebih 100 mural dan lukisan menarik.

6. Underwater World Langkawi

Underwater World Langkawi merupakan akuarium terbesar di Malaysia dan terletak di Pulau Langkawi. Ia menempatkan banyak zon berbeza yang bersesuai dengan spesis hidupan marine.

Zon-zon yang terdapat di sini adalah Temperate, Sub- Antarctic, River Ecosystem, Hexagonal Tank, zon Venemous dan Poisonous. Tarikan lain juga terdiri daripada teater 3D, kafeteria, Mirror Maze dan pusat sumber pengetahuan.

7. Makam Mahsuri Langkawi

Kota Mahsuri merupakan tempat yang dipercayai di mana Mahsuri binti Pandak Maya dikuburkan di Pulau Langkawi. Ia terletak sekitar 12km dari Pekan Kuah dan terletak dalam kawasan komplex Kota Mahsuri, Mukim Ulu Melaka.

Makam Mahsuri telah dibina semula dan dilengkapi dengan muzium, teater traditional dan sebagainya. Terdapat beberapa tempat menarik di Makam Mahsuri iaitu, replika rumah di sekitar Makam Mahsuri, perigi dan mini muzium Mahsuri.

8. Dataran Lang

Dataran Lang merupakan mercu tanda bagi Langkawi dan menjadi pilihan pengunjung untuk bergambar sebagai tanda mereka telah menjejaki Pulau Langkawi.

Ia merupakan patung helang berukuran 12 meter berdekatan dengan jeti pulau lagenda. Dataran ini meliputi kawasan yang berlanskap berkeluasan kira-kira 19 ekar yang telah dilindungi dengan teres ombak.

Dataran Lang turut dihiasi dengan kolam kecil yang indah, air pancut, dan kedai yang menjual pelbagai jenis barangan makanan. Dataran ini mempunyai kawasan astaka yang tertutup di mana sering diadakan acara atau majlis. Pada malam, seluruh dataran ini akan diterangi dengan lampu-lampu.

9. Pantai Cenang Langkawi

Pantai Cenang adalah antara kawasan pantai yang paling terkenal dan merupakan lokasi utama di Pulau Langkawi. Ia menjadi tumpuan kerana terdapat beberapa tarikan yang ada di sini.

Pantai yang cantik dan landai serta resort yang banyak menjadikannya lokasi pilihan pelancong yang ingin bercuti di Pulau Langkawi.

Pantai cenang juga adalah kawasan yang paling popular di mana terdapat pelbagai kedai-kedai makanan tempatan dan antarabangsa, komplex membeli-belah bebas cukai.

Di kawasan Pantai Cenang juga menawarkan aktiviti-aktiviti air yang menarik seperti jet ski, parasailing, banana boat dan banyak lagi.

10. Temonyoung Night Market 

Pasar malam Temonyoung merupakan antara destinasi pelancongan tempat menarik yang ada di Langkawi bagi destinasi untuk membeli-belah.

Night Market ini dibuka pada setiap hari Khamis dari jam 6 petang hingga 11 malam. Ketika berjalan-jalan di sepanjang kawasan pasar ini, anda akan menemui pelbagai jenis makanan seperti sate, nugget, fishball, pelbagai jenis kuih, cempedak goreng, nasi goreng, kuew teow dan aneka minuman.

11. Bird Paradise Wildlife Park 

Bird Paradise Wildlife Park Langkawi adalah merupakan antara tempat yang menarik di Pulau Langkawi. Terdapat pelbagai jenis haiwan dan burung yang mungkin pelancong tidak pernah kenali atau lihat.

Di sini anda sekeluarga boleh berinteraksi dengan haiwan dan boleh menyentuh serta memberi makanan kepada haiwan.

12. Pulau Beras Basah

Kebiruan air laut dan kedamaian Pulau Beras Basah Langkawi memang menjadi tarikan ramai pelancong ke sana.

Pulau Beras Basah terletak di hujung barat Langkawi dan menawarkan pemandangan air laut yang jernih serta pasir putih sambil bermandi-manda atau sekadar berkelah di tepi pantai dan menikmati bayu laut yang mendamaikan.

13. Pulau Dayang Bunting

Pulau Dayang Bunting adalah pulau kedua terbesar selepas Pulau Langkawi. Namanya berasal dari gunung di pulau ini yang kelihatan seperti perempuan mengandung yang sedang berbaring.

Tarikan utamanya adalah keindahan tasik air tawar yang luas dan alam semulajadi yang masih dipelihara di pulau ini. Anda boleh menikmati pemandangan dari platform terapung yang disediakan sambil merendamkan kaki di dalam air tasik.

Selain itu, di sini juga terdapat berapa aktiviti pelancongan untuk pengunjung seperti berkayak, merentas hutan, boating dan sebagainya. 

14. Kompleks HIG

Kompleks HIG adalah salah satu tempat untuk membeli-belah. Harga barang-barang di sini jauh lebih murah berbanding di kedai-kedai biasa.

Di sini terdapat pelbagai jenis barang yang dijual seperti, coklat, kelengkapan dapur, bagasi, batik, kain pelikat dan sebagainya. 

15. Taman Agroteknologi Mardi

Taman Agroteknologi MARDI menawarkan pengalaman yang penuh manfaat kepada setiap pengunjung. Di sini pengunjung boleh belajar banyak perkara berkaitan teknologi yang diguna pakai dalam menghasilkan pelbagai jenis tumbuhan di Malaysia.

Taman ini turut terkenal dengan pelbagai jenis ladang buah-buahan dan terdapat lebih 20 jenis pokok buah-buahan di sini. Antaranya ialah belimbing, mangga, cempadak, limau bali, nanas dan sebagainya.

Anda akan dibawa mengeliling taman ini dengan menaiki pengangkutan yang disediakan. Selain itu, kakitangan taman ini akan mengambil daun kelapa dan mengubahnya menjadi sesuatu benda untuk diberikan kepada pengujung yang datang sebagai tanda kenang-kenangan.

Share this post

Comment (1)

  • Avatar
    Zaini Reply

    Semua tempatnya best. Tak cukup kalau pergi bercuti kejap.

    September 28, 2022 at 2:26 pm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *