Tempat Menarik di Jogjakarta

Tempat Menarik di Jogjakarta

Tempat Menarik Yang Wajib Dilawati Ketika Anda Berada di Jogjakarta!

Yogyakarta ataupun lebih dikenali dengan nama Jogjakarta merupakan sebuah bandar yang sangat menarik. Di Bandar Jogjakarta ini mempunyai senarai tempat menarik dengan kombinasi unik dari segi budaya, tradisi, sejarah, pendidikan dan kejadian fenomena semula jadi.

Ini menjadikan Jogjakarta salah satu tempat yang harus untuk dikunjungi oleh semua orang tidak kira pelancong dari luar negara mahupun pelancong dari dalam negara sendiri.

Berikut saya senaraikan tempat-tempat menarik yang wajib anda kunjungi ketika berada di Jogjakarta dan ianya akan menjadi pengalaman yang takkan dilupakan seumur hidup.

1. Pantai Timang Mengungguli Carta No.1 Bagi Tempat Menarik di Jogjakarta

Sebut sahaja Jogjakarta, sudah pasti gondola di Pantai Timang adalah benda pertama yang terlintas difikiran anda. Betul kan? Program Running Man yang popular di Korea Selatan turut pernah mengadakan pengambaran di sini seterusnya menjadikan tempat ini semakin dikenali di luar negara.

Pantai Timang terletak lebih kurang 2-3 jam dari bandar Jogjakarta. Untuk sampai ke Pantai Timang itu sendiri, anda perlu menaiki jeep kerana jalannya yang berbatu dan agak curam. Walaupun boleh dikategorikan lasak, namun anda akan berasa teruja dan terpesona dengan pemandangan dan keindahan Pantai Timang yang sungguh cantik. Anda akan dapat lihat air laut yang kebiru-biruan.

Di Pantai Timang, anda mempunyai dua pilihan untuk merentasi pulau, sama ada menaiki gondola (IDR 200,000) ataupun menggunakan jambatan gantung (IDR 100,000). Gondola di situ dikendalikan menggunakan tenaga manusia sepenuhnya. Tetapi, jangan risau, gondola itu selamat untuk dinaiki. Gondola di Pantai Timang adalah satu aktiviti yang sangat berbeza yang anda takkan jumpa di tempat lain.

Tempat Menarik di Jogjakarta

2. Pantai Parangtritis

Pantai Parangtriris merupakan salah satu lokasi penggambaran filem Ada Apa Dengan Cinta 2 (AADC2). Disebabkan filem tersebut, ramai pelancong yang datang ke Pantai Parangtritis untuk melihat sendiri keindahan dan tarikan yang ada di pantai ini. Pantai ini terletak kira-kira 30km dari bandar Jogjakarta.

Antara aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan di Pantai Parangtritis ini ialah menaiki kereta kuda, paragliding, ATV dan lain-lain lagi.

Anda juga boleh menikmati air kelapa yang segar di sekitar kawasan pantai ini. Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan untuk para pelancong yang datang ke kawasan pantai ini, antaranya ialah tandas awam, masjid, tempat makan dan lain-lain.

Pantai Parangtritis

3. Candi Borobudur

Candi Borobudur merupakan salah satu Warisan Budaya Dunia yang telah diiktiraf oleh UNESCO sejak tahun 1991. Candi Borobudur ini merupakan kuil Buddha yang terbesar di dunia dan ianya menjadi tarikan utama bagi para pelancong dari luar dan dalam negara untuk melihat sendiri salah satu antara tujuh keajaiban di dunia ini.

Candi Borobudur terletak 40km dari bandar Jogjajakarta dan perjalanannya mengambil masa lebih kurang satu jam. Di sini, anda akan dapat melihat beratus-ratus patung Buddha dan mengikut kepercayaan mereka, jika pelancong memegang patung-patung yang terdapat di situ, mereka akan dapat harat yang sangat banyak.

Pada tahun 2006, telah berlaku gempa bumi yang telah memusnahkan Jogjakarta, namun Candi Borobudur terselamat daripada bencana tersebut.

Bagi yang suka bergambar, di sini terdapat banyak ‘port’ menarik untuk bergambar. Anda boleh melakukan pelbagai gaya. Hanya perlu kreatif untuk bergaya untuk dapatkan hasil gambar yang menarik.

Candi Borobudur
Photo by Christine Wehrmeier on Unsplash

4. Malioboro Street

Jika anda ke mana-mana tempat pelancongan, salah satu yang akan menjadi tumpuan adalah tempat membeli cenderamata. Begitu juga dengan Jogjakarta, Malioboro Street adalah tempat tumpuan utama bagi pelancong yang ingin membeli cenderamata sebagai kenangan.

Terdapat pelbagai jenis cenderamata yang boleh didapati di Malioboro Street antaranya ialah ‘keychain’, ‘fridgemagnet’, t-shirt, batik, ‘pouch bag’, aksesori, perkakasan rumah dan lain-lain lagi.

Harganya juga berpatutan dan berbaloi. Jika anda pandai tawar-menawar, pasti akan dapat beli dengan harga yang lebih murah. Jangan risau, peniaga di sini semuanya ramah dan mesra.

Malioboro Street ini tidak pernah sunyi kerana para pelancong dari luar dan dalam negara datang dari pagi hingga ke malam. Anda boleh berjalan-jalan sekitar Malioboro Street ini kerana tapaknya yang besar.

Anda juga boleh merasai makanan tempatan di Malioboro Street disamping menaiki kereta kuda di sekitar sini.

Photo by arialqadri – on Unsplash

5. Gunung Merapi

Gunung Merapi yang terletak berhampiran dengan bandar Jogjakarta merupakan gunung Merapi yang paling aktif di Indonesia. Walaupun gunung Merapi ini masih aktif sehingga kini, namun terdapat ramai lagi penduduk yang tinggal di sekitar kawasannya.

Jika hendak ke gunung Merapi ini, anda perlu menaiki jeep kerana jalannya yang banyak batu akibat daripada letusan sebelum ini. Supir(pemandu) yang membawa jeep merupakan penduduk asal yang sudah biasa dengan keadaan di sana.

Jadi sila dengar arahan yang diberikan. Jangan risau, mereka sangat baik dan ramah, malah boleh tolong mengambil gambar-gambar anda ketika berada di sekitar gunung Merapi.

Anda akan dibawa sehingga jarak 4km di bawah kaki gunung Merapi. Jika anda bernasib baik, anda akan dapat bergambar berlatarbelakangkan puncak gunung Merapi.

Jika tidak, puncak gunung Merapi tersebut ditutupi dengan awan tebal. Anda juga akan dibawa ke Bunker Kaliadem, mini muzium, dan juga ‘Stonehenge’. Anda boleh mengabdikan kenangan anda di sini kerana jarak antara tempat-tempat tersebut dekat sahaja.

6. Goa Pindul

Perjalanan ke Goa Pindul ini memerlukan masa lebih kurang dua jam dari bandar Jogjakarta.  Aktiviti utama di Goa Pindul adalah ‘cave tubing’ di mana anda perlu duduk di atas pelampung dan akan dibawa menyusuri sungai di dalam gua.

Sepanjang aktiti tersebut, anda akan dapat melihat stalactites dan stalagmites, ribuan kelawar serta batu-batuan di dalam gua tersebut.

Jaket keselamatan serta kasut getah turut disediakan. Bagi yang bawa telefon bimbit, kena pastikan anda membeli beg kalis air agar telefon anda rosak akibat dimasuki air.

Di kawasan tersebut, ada dijual beg kalis air oleh orang tempatan kerana mereka menyedari kepentingan beg kalis air tersebut kepada para pengunjung yang ingin melakukan aktiviti ‘cave tubing’ di Goa Pindul.

Goa Pindul

7. Jurang Tembelan

Kawasan di sekitar Jurang Tembelan ini sangat mengasyikkan dengan pemandangan yang sangat luas. Anda akan berasa sangat tenang ketika berada di sini.

Di Jurang Tembelan ini mempunyai beberapa spot menarik untuk anda bergambar sambil berlatarbelakangkan pemandangan alam semula jadi yang sangat memukau.

Antara yang menjadi tarikan utama adalah yang berbentuk perahu. Terdapat lagi beberapa bentuk yang menjadi tarikan.

Jika ingin mengambil gambar di sini, anda perlu menunggu giliran kerana bilangan pengujungnya yang ramai terutama pada hujung minggu. Di sini juga terdapat jurugambar yang boleh ambilkan gambar anda dan anda boleh beli gambar tersebut dengan harga yang berpatutan.

8. Hutan Pinus

Anda suka bergambar sambil berlatarbelakang alam semula jadi yang menarik? Di Hutan Pinus ini adalah tempat yang sangat sesuai. Pokok-pokok pinus yang tinggi menjadi daya tarikan kepada sesiapa yang mengujungi kawasan seluas 500 hektar ini.

Kawasan ini adalah kawasan hutan lindung yang dikendalikan oleh RPH Mangunan. Pengunjung dikehendaki berjalan kaki di sekitar kawasan ini kerana tiada sebarang kenderaan yang dibenarkan untuk masuk ke dalam. Tujuannya adalah untuk memelihara kawasan Hutan Pinus ini supaya ianya sentiasa terjaga dan berada dalam keadaan yang bersih.

Hutan pinus ini sangat terkenal dalam kalangan jurugambar di seluruh dunia kerana keunikan hutannya. Tidak ketinggalan ada dikalangan pengunjung yang hadir untuk mengadakan ‘pre-wedding photoshoot’, ‘wedding photoshoot’, dan lain-lain lagi.  

Photo by IvanH on Unsplash

9. Rumah Hobbit

Nama asal Rumah Hobbit ini adalah Wisata Seribu Batu Songgo Langit, namun tempat ini lebih dikenali dengan Rumah Hobbit kerana di sini terdapat beberapa rumah yang sama dengan rumah Hobbit.

Rumah Hobbit ini terletak kira-kira 1 jam perjalanan dari bandar Jogjakarta dan kawasan ini terletak berhampiran dengan Hutan Pinus Mangunan. Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan di kawasan ini antaranya ialah tandas, surau, tempat parkir, dan lain-lain lagi.

Di sini juga terdapat beberapa aktiviti yang boleh anda cuba selain daripada bergambar iaitu ‘flying fox’. Keterujaan untuk melakukan aktiviti ‘flying fox’ di kawasan ini pasti akan dirasai kerana keadaan persekitaran yang menarik dan memukau pandangan mata anda.

Tempat Menarik di Jogjakarta

10. Gumuk Pasir Merupakan Lokasi Terakhir Untuk Senarai Tempat Menarik di Jogjakarta

Gumuk Pasir terletak berhampiran dengan Pantai Parangtritis. Lokasi ini menjadi popular kerana kawasan pasirnya yang jarang dijumpai. Di sini ada disediakan kawasan untuk bergambar seperti buaian dan simbol hati. Terdapat juga taman bunga matahari untuk pengunjung datang bergambar disebalik saiz pokok yang besar dan sangat cantik.  

Pengunjung dinasihatkan supaya datang dengan memakai selipar kerana kawasan ini berpasir. Sekiranya anda memakai kasut, pasir akan mudah masuk ke dalam dan menyebabkan ketidak selesaan pada kaki.

Anda juga boleh melakukan beberapa aktiviti di Gumuk Pasir antaranya menyewa ATV, menaiki kereta kuda dan bermain ‘sand boarding’.  Jangan lupa untuk memakai ‘sunblock’ sebelum datang ke sini kerana cuacanya agak panas.

Tempat Menarik di Jogjakarta

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *