PERUBATAN TRADISIONAL MALAYSIA

Perubatan tradisional telah memberi sumbangan besar kepada penjagaan kesihatan manusia sebelum perubatan moden. Ia bergantung kepada tumbuhan dan herba dan bukannya bahan kimia.

Pelbagai bangsa seperti Melayu, Cina, India, dan Orang Asli telah lama mengamalkan penggunaan tumbuhan dan herba untuk tujuan perubatan. Perubatan tradisional juga telah terbukti secara saintifik dan disyorkan sebagai rawatan alternatif untuk meringankan penderitaan dan meningkatkan keberkesanan perubatan moden.

Antara perubatan tradisional yang diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan ialah:

1. BEKAM (2012)
Bekam dalam istilah Melayu membawa maksud mengeluarkan angin dalam badan atau pelepasan darah kotor daripada badan.  Dalam bahasa Arab pula, ia dikenali sebagai al-Hijamah iaitu kaedah pembersihan darah atau angin dengan mengeluarkan sisa toksik dalam badan melalui kulit secara sedutan. Dalam Bahasa Inggeris dikenali sebagai cupping, orang Cina mengenalnya sebagai gua-sha.

Bekam merupakan perubatan alternatif yang dapat memberikan keseimbangan tubuh badan. Terdapat beberapa jenis bekam yang diamalkan di dunia seperti bekam kering (angin), bekam basah (darah), bekam magnet, bekam elektronik dan bekam akupuntur.

2. BIDAN KAMPUNG (2012)
Dalam masyarakat kampung tradisional, bidan ialah wanita yang berpengalaman dalam hal ehwal menguruskan wanita mengandung dan bersalin. Mereka mengetahui tentang perubatan tradisional yang banyak menggunakan tumbuhan herba. Dalam zaman moden ini, bidan telah diserap dalam perkhidmatan kesihatan moden dan dilantik dalam jawatan yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan setelah mendapat latihan perbidanan di sekolah jururawat dan dikenali sebagai bidan kerajaan. Bidan yang tidak dilantik kerajaan pula, biasanya dikenali sebagai bidan kampung. Bidan adalah orang penting untuk upacara atau masalah yang berkait dengan wanita mengandung, kelahiran, bayi, melenggang perut, naik buaian/ endoi, cukur jambul, sunat untuk bayi perempuan menguruskan hal bayi songsang, tumpah darah, keguguran, mandul serta urut sebelum dan selepas bersalin.

3. BOMOH PATAH (2012)
Bomoh merujuk kepada ahli perubatan tradisional dalam masyarakat Melayu dahulu kala. Ahli perubatan tradisional dalam masyarakat Melayu turut dikenali sebagai dukun, atau pawang. Patah tulang sering dirujuk kepada bomoh tulang. Masyarakat Melayu lebih yakin dengan keupayaan kaedah tradisional berbanding moden dalam memulihkan patah tulang. Selain dikenali sebagai bomoh tulang mereka juga dikenali sebagai bomoh patah. Kaedah yang digunakan ialah urutan ke atas bahagian yang sakit dengan disertai bacaan tertentu yang sering diambil daripada al-Quran.

4. ULIK MAYANG (2012)
Ulik Mayang adalah amalan perubatan di negeri Terengganu dan merupakan suatu proses penyembuhan ke atas pesakit yang mengalami gangguan makhluk halus  sama ada  daripada laut ataupun darat. Upacara ini melibatkan seorang bomoh yang bertindak sebagai  pengawal dan medium perhubungan  antara makhluk halus dan manusia dalam mengubati pesakit. Bahan  penting yang harus disediakan adalah mayang pinang yang lebat bunganya di samping kemenyan untuk mengasap mayang tersebut setelah disapukan dengan minyak kelapa. Upacara  ini dilakukan di kawasan pesisiran pantai pada waktu malam.  Bomoh tidak akan mengubati pesakit pada malam Jumaat kerana ia adalah salah satu pantang larang yang mesti diikuti.

5. MAIN PETERI (2012)
Main Peteri atau Main Teri merupakan persembahan perubatan tradisi yang popular di negeri Kelantan untuk mengubati penyakit yang berkaitan dengan gangguan makhluk halus, hilang semangat, masalah keseimbangan tenaga dalaman dan juga berkaitan gangguan angin ‘keinginan‘ dan kehendak.  Antara watak utama dalam Main Peteri ialah Tok Peteri dan Tok Minduk dan merupakan perantara yang menghubungkan manusia dengan makhluk ghaib. Sesi perubatan ini diiringi dengan iringan muzik seperti rebab, serunai, gong, gendang, geduk, canang, dan juga kesi. Uniknya persembahan ini menyelitkan elemen-elemen persembahan seperti doa, tarian, nyanyian, lakonan dan jampi mantera.

Kesimpulan

Kebaikan Perubatan TradisionalPemeliharaan Warisan BudayaPelengkap Kepada Perubatan Moden
Perubatan tradisional menawarkan pendekatan holistik untuk penjagaan kesihatan, menggunakan ubat-ubatan semula jadi dan tumbuh-tumbuhan.Perubatan tradisional berakar umbi dalam amalan budaya dan tradisi, memelihara warisan masyarakat yang berbeza.Perubatan tradisional boleh melengkapkan rawatan perubatan moden, menyediakan pilihan alternatif untuk pesakit.

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *