Ujian & Sabar

UJIAN & SABAR

Hasil kupasan makna dari setiap ayat Al Baqarah bermula dari ayat 153 sehingga 157.

Ayat 153

يَـٰٓأَيُّهَاالَّذينَ ءآمَنُوا استَعينوا بِالصَّبرِوَٱلصَّلَوٰةِ‌ ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصّٰبِرينَ 

 Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar. 

  • Ayat ini ditujukan kepada “orang beriman”. 
  • Meminta pertolongan dengan Allah dengan bersabar dan mengerjakan solat. 
  • Maka orang akan bersama dengan orang yang sabar. 

 

Ayat 154 

وَلا تَقولوا لِمَن يُقتَلُ في سَبيلِ اللَّهِ أَموٰتٌ ۚ بَل أَحياءٌ وَلٰكِن لّا تَشعُرونَ 

Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya. 

  • Mereka tidak mati, tapi hidup sebenarnya. Cara bagaimana mereka hidup, kita tidak tahu. Yang kita tahu, mereka itu ada yang hendak pulang ke dunia lagi kerana hendak berjihad lagi di jalan Allah ‎ﷻ. Ini disebut dalam hadith. 
  • Dalam ayat sebelum ini, dinasihatkan kepada umat Islam untuk bersabar. Antara sabar yang paling kuat diperlukan adalah apabila orang yang kita sayangi mati. Antaranya, mereka yang mati semasa berperang di jalan Allah. 

Ayat 155 

وَلَنَبلُوَنَّكُم بِشَيءٍ مِّنَ الخَوفِ وَالجوعِ وَنَقصٍ مِّنَ الأَموٰلِ وَالأَنفُسِ وَالثَّمَرٰتِ ۗ وَبَشِّرِ الصّٰبِرينَ 

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. 

  • Pasti Allah ‎ﷻ akan beri ujian. Inilah kehidupan dunia. Maka jangan hairan apabila ujian datang kerana ia adalah pasti. Allah sudah janjikan siap-siap kerana dunia ini memang tempat ujian. Jadi tidak perlu hendak mengadu sangat kepada orang lain kalau ada banyak dugaan kerana memang dunia ini adalah tempat ujian. Antaranya dengan situasi takut. Pada zaman dahulu seperti pejuang agama yang diuji bertembung dengan musuh yang boleh menyebabkan kematian. Kalau sedang jihad perang itu, mereka takut dengan musuh yang ramai. Kalau di zaman sekarang kita banyak diuji dengan penyakit berjangkit yang menyebabkan kematian, kekangan kewangan, ujian lapar, kehilangan harta benda dan sebagainya. 

Ayat 156 

الَّذينَ إِذا أَصٰبَتهُم مُّصيبَةٌ قالوا إِنّا لِلَّهِ وَإِنّا إِلَيهِ رٰجِعونَ 

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. 

  • Kalimah مُصِيبَةٌ bermaksud kesusahan yang diberikan oleh Allah dan kena tepat kepada kita. Memang tidak dapat dielakkan lagi kerana memang Allah ‎telah tentukan (takdir) untuk kita. Maka kalau kita kena musibah, yang kita kena lakukan adalah redha dengan apa yang Allah ‎ﷻ tentukan untuk kita. 

    Sekarang kita akan belajar satu lafaz yang kita biasa sebut. Nama lafaz ini adalah istirja’. 

    قالوا إِنّا لِلَّهِ وَإِنّا إِلَيهِ رٰجِعون 

    Alamat orang yang sabar adalah dia tidak merungut apabila ditimpa apa-apa musibah dan tidak keluar kata yang tidak elok daripada mulutnya. Ataupun tidak ternampak rasa tidak puas hati daripada rupa parasnya. Semua yang buruk akan keluar daripada orang yang tidak dilatih dengan sifat sabar 

    Orang sabar akan kata kita ini adalah milik Allah  sebenarnya. Allah  boleh berikan nikmat dan Allah boleh ambil balik. Baik nyawa, harta, kesihatan dan segalanya adalah milik Allah ‎ dan Dia boleh ambil balik. 

    Aisyah رضي الله عنها kehairanan kerana yang terjadi hanya perkara kecil sahaja. Nabi ﷺ menjawab bahawa apa sahaja yang mengecewakan manusia adalah musibah. 

    Diberitakan bahawa pada suatu ketika lampu Nabi ﷺ padam, maka baginda pun mengucapkan istirja`, lalu kata Aisyah رضي الله عنها, “Bukankah ini hanya sebuah lampu!” Jawabnya, “Setiap yang mengecewakan (hati) orang mukmin itu bererti musibah.” Diriwayatkan oleh Abu Daud. 

     Ujian sabar adalah dalam tiga hari pertama. Bila mula-mula kena musibah itu, kita sudah kena sabar kerana selalunya apabila sudah lama, manusia senang untuk sabar, jadi itu sudah tidak dikira. Namun mula-mula bila ia terjadi yang susah untuk sabar. 

    Dalam satu riwayat, seorang wanita mengalami kematian dalam keluarganya. Nabi ﷺ nampak keadaan wanita itu dan memberi nasihat kepada wanita itu untuk bersabar. Wanita itu sedang menangis dan tidak perasan yang memberi nasihat itu adalah Nabi ﷺ. Wanita itu kata bolehlah Nabi ﷺ minta dia sabar sebab benda itu tidak jadi pada baginda. Ada yang nampak kejadian itu dan telah menegur wanita itu kerana cakap begitu dengan Nabi ﷺ. Maka selang beberapa hari, wanita itu telah pergi kepada Nabi ﷺ dan beritahu baginda yang dia sudah bersabar dengan apa yang terjadi. Nabi ﷺ kata sabar itu kena ada semasa berlakunya perkara itu. Sabar selepas lama kejadian itu tidak dikira lagi. 

Ayat 157 

أُولٰئِكَ عَلَيهِم صَلَوٰتٌ مِّن رَّبِّهِم وَرَحمَةٌ ۖ وَأُولٰئِكَ هُمُ المُهتَدونَ 

Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya. 

  • Orang-orang yang sentiasa bersabar dengan apa yang terjadi dan melafazkan lafaz istirja’ apabila ditimpa oleh musibah. Namun kenalah melafazkan istirja’ itu dengan faham apakah maksudnya. Kalau sebut tetapi tidak faham pun susah juga kerana kesannya tidak sampai. 
  • ‘Selawat’ di sini bermaksud seperti ‘syabas’ kalau kita kata kepada orang yang berjaya. Jadi selawat itu adalah dalam bentuk tahniah daripada Tuhan sendiri. Allah  ucapkan tahniah ke atas mereka kerana mereka boleh sabar. Ini adalah maksud selawat dalam ayat ini. Bahasa urdu dan farsi terjemah selawat dengan lafaz syabas macam kita ambil dan pakai dalam bahasa kita. 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *